Selenium memainkan peranan penting dalam mengekalkan status kesihatan manusia. Pengambilan selenium yang tidak mencukupi boleh menjadi penyebab kepada kejadian penyakit. Satu kajian hirisan lintang telah dijalankan untuk menilai paras selenium serum dalam kalangan populasi di Daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia. Seterusnya taburan menurut faktor sosiodemografi dikenal pasti. Populasi di Daerah Hulu Langat dipilih secara persampelan rawak yang melibatkan enam mukim iaitu Ulu Langat, Ampang, Kajang, Cheras, Beranang dan Semenyih. Seramai 415 orang subjek berumur antara 5-64 tahun telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Sampel darah diambil untuk melihat paras selenium dalam serum. Hasil mendapati paras selenium keseluruhan subjek ialah 1.67 + 0.44 μmol/l. Hasil ujian ANOVA dua hala mendapati tiada perbezaan paras selenium yang bererti menurut jantina dengan nilai p=0.981 (p>0.05). Manakala terdapat perbezaan paras selenium yang bererti menurut kumpulan umur dengan nilai p<0.001. Kesan interaksi jantina dan kumpulan umur pula menunjukkan tiada interaksi yang bererti antara kedua faktor tersebut dengan p=0.362 (p>0.05). Perbezaan paras selenium adalah bererti menurut lokasi (p<0.05) bagi kedua-dua jantina. Semakin jauh lokasi dari pusat bandaraya Kuala Lumpur, semakin tinggi paras selenium subjek. Kesimpulannya, paras selenium serum populasi penduduk di Daerah Hulu Langat adalah normal berbanding nilai rujukan dari Makmal Unsur Surih, Institut Robens, University of Surrey iaitu 0.89-1.65 μmol/l untuk dewasa.