Proses penyemperitan merupakan salah satu proses pra-pencampuran yang dapat membantu meningkatkan tahap serakan
bahan pengalir dalam komposit polimer pengalir (CPC). Tahap keberaliran elektrik dilihat tidak begitu memuaskan
walaupun telah melalui proses serakan melalui pengacuan mekanik. Kajian ini dijalankan bagi mengoptimumkan
proses penyemperitan bahan gentian karbon terkisar (MCF) dan polipropilena (PP) iaitu suhu penyemperitan dan halaju
putaran melalui kaedah reka bentuk eksperimen (Taguchi). Susunan orthogonal Taguchi L9 digunakan bagi menentukan
aras yang paling optimum serta menjalankan analisis varian bagi memperoleh nilai keberaliran elektrik yang paling
baik. Pengoptimuman parameter pada suhu penyemperitan 210ºC hingga 250ºC dan halaju putaran 50 hingga 90 rpm
menggunakan komposisi bahan sebanyak 80 % bt. MCF dan 20 % bt. PP dengan tahap keberaliran elektrik meningkat
pada tahap maksimum 3.67 S/cm. Pengoptimuman parameter ini menunjukkan bahawa reka bentuk eksperimen yang
terhasil mampu menghasilkan nilai keberaliran elektrik yang tinggi serta mempunyai sifat mekanik yang baik.