Sains Malaysiana, 2011;40:1271-1276.

Abstract

Penyingkiran boron dalam larutan akuas secara penjerapan telah dikaji dengan menggunakan penjerap komposit yang menggabungkan zeolit, batu kapur, karbon teraktif dan buangan arang sekam padi. Parameter optimum seperti pH, masa sentuhan optimum dan dos bahan penjerap dikaji. Kajian isoterma penjerapan dan kinetik penjerapan turut dijalankan. Hasil penyelidikan menunjukkan penyingkiran boron paling optimum berlaku pada pH5 dan masa sentuhan optimum ialah pada minit ke 120. Dos optimum bagi penyingkiran boron dalam larutan akuas ialah pada dos 280 g/L dan penyingkiran yang dapat dilakukan ialah sebanyak 50.49%. Dalam kajian isoterma, model isoterma Langmuir dan Freundlich telah diaplikasikan dan hasil kajian membuktikan bahawa kajian isoterma penjerapan adalah mematuhi model isoterma Langmuir (R2 = 0.8792). Nilai kapasiti penjerapan maksimum (qm) yang diperoleh daripada model isoterma Langmuir adalah 1.8985 mg/g. Kajian kinetik penjerapan dijalankan untuk mengetahui mekanisme proses penjerapan dan hasil kajian menunjukkan kadar kinetik bagi penjerapan boron ini adalah mematuhi model kinetik tertib kedua. Pekali korelasi yang diperoleh untuk model kinetik tertib kedua ini adalah 0.9929. Ini mencadangkan bahawa kinetik penjerapan boron adalah dipengaruhi oleh proses kimia.