Entomologi forensik dapat ditakrifkan sebagai pengetahuan mengenai serangga yang berkait rapat dengan bangkai terutamanya manusia, dengan tujuan ia dapat digunakan dalam penentuan jangka masa pascakematian. Jangka masa pascakematian (PMI) dapat ditentukan dengan mengambil kira spesies serangga dan peringkat perkembangan setiap spesies tersebut. Oleh kerana penentuan jenis spesies memerlukan serangga berkembang ke peringkat dewasa dan ini mengambil masa yang lama, maka objektif utama kajian ini adalah untuk mengoptimumkan suhu dan kelembapan terhadap perkembangan serangga dengan menggunakan larva Chrysomya megacephala sebagai spesimen. Larva C. megacephala dipindahkan ke dalam bekas khas, kemudiannya dimasukkan ke dalam pengeram yang telah dilaraskan suhunya kepada 27, 30, 33, 36 dan 39°C. Selepas menentukan suhu optimum perkembangan larva, aras kelembapan relatif ditentukan. Ini dilakukan dengan menentukan tempoh masa yang diperlukan untuk mengembangkan telur C. megacephala hingga ke peringkat dewasa. Untuk itu aras kelembapan relatif dalam pengeram tersebut dilaraskan kepada 54.2, 57.6, 76.0 dan 67.5% (kawalan). Peringkat perkembangan C. megacephala direkodkan. Hasil yang diperolehi menunjukkan perkembangan C. megacephala lebih pantas pada suhu 33oC berbanding suhu-suhu lain yang digunakan. Aras kelembapan relatif yang optimum juga telah dikenal pasti iaitu pada 76.0%. Dengan menggunakan keduadua data didapati keseluruhan peringkat perkembangan C. megacephala iaitu daripada peringkat telur hingga dewasa dapat dipendekkan daripada 8 hingga 9 hari kepada 5 hari.