Kajian ini bertujuan untuk melakukan penyaringan pelbagai aktiviti biologi menggunakan ekstrak akues rebusan air, ekstrak metanol larut air, ekstrak etanol, ekstrak metanol dan polisakarida miselium cendawan Amauroderma sp. yang diperoleh dari Taman Negeri Royal Belum. Ujian antikanser, antivirus, antibakteria dan antioksida digunakan dalam penyaringan ini. Ujian antikanser dijalankan ke atas sel kanser ovari (CaOV-3) dan sel normal hati Chang dengan tamoxifen digunakan sebagai kawalan. Kesemua nilai IC50 yang diperoleh menunjukkan nilai yang tinggi (400±3.6 - 3950±0.005 μg/mL). Sementara itu, kajian awal penyaringan aktiviti antivirus dimulakan dengan ujian sitotoksisiti ekstrak terhadap sel Vero. Didapati hanya ekstrak rebusan air dan etanol memberi nilai CC50 masing-masing pada kepekatan 6.4±0.3 dan 7.9±1.28 mg/mL. Seterusnya, ujian antivirus menggunakan virus Herpes Simpleks Jenis 1 (HSV-1) yang menjangkiti sel Vero dilakukan dengan dua kaedah iaitu pra-rawat dan pos-rawat. Ekstrak menunjukkan aktiviti yang tidak ketara terhadap HSV-1 bagi kedua-dua kaedah ini. Penyaringan aktiviti antibakteria dilakukan ke atas beberapa jenis bakteria gram negatif dan positif dengan satu siri kepekatan ekstrak; 10, 5, 2.5, 1.25 dan 0.625 mg/mL. Kesemua ekstrak tidak menunjukkan aktiviti antibakteria berdasarkan ketiadaan sebarang zon perencatan dalam kesemua piring petri. Walau bagaimanapun, penyaringan antioksida menunjukkan kadar peratusan penyingkiran radikal bebas yang tinggi terutamanya ekstrak etanol iaitu 93.6%. Ini diikuti oleh ekstrak rebusan air (92.65%), metanol (88.83%) serta polisakarida (85.75%). Memandangkan kesemua ekstrak tidak menunjukkan kehadiran aktiviti sitotoksik, antivirus dan antibakteria, tetapi mempunyai aktiviti antioksida yang signifikan, maka bolehlah disimpulkan bahawa pelbagai ekstrak Amauroderma sp. sangat berpotensi secara khusus sebagai komponen nutrisi bersifat antioksidatif.