Sains Malaysiana, 2011;40:1123-1127.

Abstract

Blastocystis hominis merupakan antara protozoa yang paling biasa ditemui di dalam sampel feses manusia di seluruh dunia. Prevalens infeksi protozoa ini adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tinggal di negara membangun berbanding negara maju. Seramai 71 orang kanak-kanak Orang Asli dari Pos Lenjang, Pahang telah menjadi subjek dalam kajian ini. Bagi kajian yang lebih terperinci, kumpulan kanak-kanak ini telah dibahagikan menurut jantina dan umur. Sampel feses dikumpul dan setiap sampel diperiksa dengan menggunakan 3 teknik diagnostik iaitu teknik apusan langsung, konsentrasi formalin-eter dan perwarnaan trikrom bagi tujuan pengesanan dan pengenalpastian Blastocystis hominis. Prevalens infeksi Blastocystis hominis di kalangan kanak-kanak Orang Asli adalah sangat tinggi iaitu 93%. Kanak-kanak perempuan didapati lebih ramai terinfeksi (97.5%) berbanding kanak-kanak lelaki (87.1%) walaupun secara statistiknya tidak signifikan (p>0.05). Protozoa ini juga telah menginfeksi kesemua kanak-kanak prasekolah (100%) manakala kanak-kanak yang bersekolah turut menunjukkan prevalens infeksi yang tinggi iaitu 86.5%. Daripada segi diagnosis, teknik perwarnaan trikrom didapati paling sensitif dan ia dapat mengenalpasti kesemua (66) sampel feses yang positif dengan Blastocystis hominis. Ini diikuti dengan teknik konsentrasi formalin-eter (43 sampel) dan teknik apusan langsung (18 sampel) (p<0.05). Prevalens infeksi Blastocystis hominis yang tinggi di kalangan kanak-kanak Orang Asli adalah berhubungkait dengan pelbagai faktor termasuk status sosioekonomi yang rendah, budaya, kekurangan kemudahan asas dan tahap pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan serta kebersihan diri yang rendah. Selain itu, peningkatan prevalens infeksi dalam kajian ini menunjukkan pentingnya penggunaan teknik diagnostik yang lebih berkesan di dalam pemeriksaan rutin bagi memperolehi hasil diagnosis yang lebih tepat.