Abstract

Kajian ini dijalankan untuk menentukan kesan hidroksipropil metil selulosa (HPMC) dan jangka masa penggorengan yang berbeza ke atas pemindahan eugenol dalam produk nuget ayam bersalut. Tiga kepekatan HPMC digunakan iaitu 0, 0.75 dan 1.5% serta tiga jangka masa penggorengan iaitu 210, 240 dan 270 saat. Sampel nuget ayam ditambah 0.5% kandungan eugenol, disalut dengan kepekatan HPMC yang berbeza dan digoreng pada suhu 180°C. Di akhir penggorengan selama 210, 240 dan 270 saat, kandungan eugenol bahagian salutan nuget meningkat secara signifikan (p<0.05) berbanding sebelum penggorengan. Untuk setiap jangka masa penggorengan selama 0, 210 dan 240 saat, tiada kesan penggunaan HPMC yang signifikan didapati ke atas kandungan eugenol dalam salutan. Tetapi penggorengan selama 270 saat, menunjukkan kandungan eugenol yang lebih tinggi dengan penggunaan HPMC. Peningkatan jangka masa penggorengan menghasilkan penurunan kandungan eugenol dalam substrat pada setiap kepekatan HPMC. Manakala, peningkatan kepekatan HPMC menghasilkan peningkatan kandungan eugenol dalam substrat.