Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Centre
Medicine & Health, 2017;12(2):286-292.
MyJurnal

Abstract

Acanthamoeba spp. merupakan ameba hidup bebas yang biasa ditemui
di persekitaran. Ia merupakan agen penyebab keratitis Acanthamoeba (AK)
dan ensefalitis ameba bergranuloma (GAE). Ameba ini juga mampu menjadi
perumah kepada pelbagai bakteria termasuklah yang bersifat patogenik seperti
Mycobacterium, Legionella dan Staphylococcus aureus rintang metisilin (MRSA).
Berdasarkan maklumat ini, satu kajian dijalankan untuk mengesan kehadiran tiga
bakteria endosimbion berkepentingan perubatan di dalam Acanthamoeba spp. yang
telah dipencilkan dari bolong penghawa dingin yang terdapat di wad and dewan
bedah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kehadiran bakteria
endosimbion ini disaring menggunakan pasangan primer khusus bagi setiap genus
menggunakan reaksi rantai polimerase (PCR) konvensional dan disahkan dengan
analisis penjujukan. Dua puluh sembilan (80.56%) pencilan Acanthamoeba spp.
didapati mengandungi bakteria endosimbion patogenik yang disasarkan dengan
sekurang-kurangnya satu genus bakteria bagi setiap pencilan. Mycobacterium
(82.76 %) adalah bakteria yang paling banyak dikesan, diikuti dengan Legionella sp.
(65.52 %) dan Pseudomonas spp. (62.07 %). Tiada bakteria MRSA dikesan daripada
mana-mana pencilan dalam kajian ini. Dua endosimbion Mycobacterium yang
dikenalpasti telah dikelompokkan ke dalam strain Mycobacterium tuberculosis.
Kami membuat kesimpulan bahawa, kebanyakan Acanthamoeba berpotensi untuk
menjadi perumah bagi pelbagai bakteria patogenik, namun implikasi interaksi ini
terhadap patogenisiti kedua-dua organisma masih kurang jelas dan memerlukan
penyelidikan yang lebih lanjut.